Calon yang diamanah menerajui cabaran
Barisan Nasional (BN) menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim di kawasan Parlimen
Permatang Pauh pada pilihan raya umum ke-13, bukan lawan mudah untuk ketua
pembangkang itu, kata ilmuan dan bekas rakan karib Anwar, Datuk Dr Sidek
Baba.
Sambil menyifatkan Anwar akan 'bertemu buku dengan ruas', pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata Dr Mazlan Ismail adalah seorang petanding, boleh melawan dan mempunyai latar belakang yang boleh menjadi saingan kepada Anwar.
"Apabila dia (Dr Mazlan) bersedia melawan, ia
ibarat (Anwar) 'bertemu buku dengan ruas', kerana Dr Mazlan merupakan anak
tempatan, seorang profesional dan amat layak. Dr Mazlan bukan lawan mudah bagi
Anwar.
"Dr Mazlan dari segi imej, saya lihat ada
faktor saingan pada dia, ada jiwa agama dan bekas pimpinan PAS. Dr Mazlan sudah
tentu ada faktor simpati daripada orang PAS apalagi di kalangan orang Umno dan
orang yang berada di tengah-tengah.
"Ini mungkin meletakkan peluang yang lebih
kepada dia, memang satu yang bijaksana hantar orang yang terbaik di situ untuk
menghadapi tokoh yang bercita-cita menjadi perdana menteri," katanya kepada
Bernama selepas program 'Helo Malaysia' terbitan BernamaTV, malam Rabu.
BN mempertaruhkan bekas pengarah pilihan raya
umum (PRU) PAS Pulau Pinang, Dr Mazlan untuk menentang Anwar pada pilihan raya
umum kali ini.
Merupakan anak tempatan Permatang Pauh, Dr
Mazlan, 53, memiliki Ijazah Komunikasi Elektronik daripada University of
Salford, United Kingdom dan PhD dalam 'Intelectual Capital Management' daripada
Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Bukan setakat itu sahaja, pengalaman Dr Mazlan
di bidang korporat dengan menyandang jawatan naib presiden Telekom Malaysia
sebelum ini, dilihat memberi kelebihan kepadanya.
Sidek baru-baru ini mengejutkan banyak pihak
apabila meninggalkan Anwar selepas lebih 30 tahun bersahabat, tetapi beliau
menjelaskan bahawa tindakannya itu dibuat atas tiga sebab - masalah keruntuhan
moral, sokongan kepada pluralisme agama serta kredibiliti Anwar.
Beliau meninggalkan Anwar selepas tiga tahun membuat kajian dengan menemu bual 28 individu yang rapat dengan ketua pembangkang itu, serta membuat solat sunat Istikharah bagi memohon petunjuk.
Mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa
pakatan pembangkang harus diberi peluang untuk memimpin kerajaan, Dr Sidek
berkata Malaysia bukan seperti negara Arab.
"Dalam menilai sesebuah kerajaan, kita lihat
rekodnya, kita tentukan ada kesinambungan. Asas rekod prestasi di Malaysia, jika
kita lihat dari segi pertumbuhan ekonomi negara adalah baik, Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) baik, inflasi agak terkawal, tahun lepas sahaja, hasil dalam
negara memungut RM125 bilion, jumlah agak besar, simpanan dalam negara pun
ada.
"Dari segi rekod prestasi ini, dan dasar-dasar
kerajaan juga memihak kepada rakyat dan jelas, dasar membangun dan memperkasakan
pendidikan jelas, dasar menyantuni golongan miskin pun ada. Itu tidak berlaku di
Asia Barat," katanya.
Sidek juga berkata Malaysia turut mengalami
perubahan negara Islam apabila wujudnya Bank Islam, Takaful Islam, Bon Islam,
Sukuk Islam, wakaf, zakat, dan tidak lama lagi akan wujud Universiti
Al-Quran.
"Siapa kata kerajaan tolak Islam, yang betul
katakan betul dan yang baik katakan baik...dan jika tidak benar katakan tidak
benar dengan etika yang baik. Itulah cara kita," katanya.
Mengenai nasihat kepada pengundi muda yang kali
pertama mengundi pada PRU13, beliau berkata proses memilih wakil rakyat tidak
boleh dilakukan hanya berdasarkan kepada zahir seseorang calon itu.
"Walaupun kita tidak tahu tentang sisi peribadi
seseorang itu, tetapi kebenaran lambat laun akan diketahui. Saya harap generasi
muda, jangan mudah membuat keputusan, melompat dengan kenyataan mengutuk dan
sebagainya.
"Cuma ingatan saya kepada orang muda yang tak
kenal saya, kenalilah saya dan kenalilah Datuk Seri Anwar masa silam dan masa
kini. Bila kenali saya, kita berbincang, saya ada cukup bukti untuk membuktikan
benda-benda seperti ini, kerana saya membuat kajian," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan